KUALA LUMPUR:Prinsip yang dipegang artis serba boleh, Alif Satar dalam berkarya ialah sentiasa memastikan usaha dan kerja yang diamanahkan berada di peringkat paling optimum.

Dalam masa sama, Alif juga sentiasa mengingatkan dirinya bahawa jangan sesekali memberi masalah kepada orang lain khususnya rakan sepasukan setiap kali berkarya.

Lalu, apabila memikirkan dua rakannya, Nabil Ahmad dan Jihan Muse sudah bersusah-payah dan bersungguh-sungguh menjalani latihan sebagai pengacara Anugerah MeleTOP Era (AME) tanpa kehadirannya membuatkan Alif membuat keputusan menarik diri daripada gandingan itu.

Kata Alif, mengendalikan AME merupakan satu tugas yang menuntut komitmen yang bukan calang-calang selain memerlukan stamina.

Dan Nabil serta Jihan, ujar Alif, sudah mengambil masa yang lama menjalani latihan, bacaan skrip serta perbincangan dengan pihak produksi tanpa kehadirannya.

“Justeru, Alif harus berlaku adil kepada mereka berdua (Nabil dan Jihan) serta pasukan produksi yang sudah lama bertungkus-lumus menjalani latihan untuk AME, sedangkan Alif tidak dapat menyertai mereka.

“Selepas berfikir sedalam-dalamnya, Alif memaklumkan pada Astro mengenai hasrat untuk tarik diri kerana secara peribadi Alif merasakan masih belum cukup stamina untuk bersama-sama pasukan itu dalam AME,” kata Alif kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Terdahulu stesen televisyen Astro mengumumkan Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd Satar menarik diri daripada bergandingan dengan Nabil dan Jihan untuk mengendalikan AME yang akan berlangsung pada 20 Disember ini (Ahad) di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Menyedari keputusan menarik diri untuk mengendalikan AME bukan sesuatu yang mudah, namun, di sebaliknya, Alif bersyukur dan gembira kerana Astro memahami situasi yang dihadapinya.

Kata Alif, 30, dia bukan sengaja memilih untuk menarik diri, sebaliknya, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.

Keputusan penarikan diri itu dibuat selepas Alif memikirkan dia perlu memberi tumpuan yang lebih kepada kesihatannya selepas pulih daripada jangkitan pandemik COVID-19.

BACA: 'Allah SWT makbulkan doa kalian semua' - Alif Satar umum isteri, anak negatif COVID-19

BACA: COVID-19: "Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik" - Alif Satar

Secara peribadi, Alif berpendapat, dia perlu mengambil berat tahap kesihatannya memandangkan peranan sebagai hos acara berkenaan bukan sesuatu yang boleh dipandang mudah.

Apa lagi, jelas Alif, setiap kali sebelum berkarya, dia sering berikrar dalam dirinya agar sentiasa memberikan komitmen 100 peratus tanpa kompromi.

“Sebenarnya keputusan ini Alif buat selepas tamat kuarantin (akibat COVID-19). Alif fikir sedalam-dalamnya sebelum memaklumkan kepada pihak produksi. Alif tidak bermaksud untuk kecewakan mana-mana pihak,
Cuma keputusan ini adalah untuk kebaikan semua,” ujar pengacara program Big Stage itu lagi.

Sekalipun tidak menyertai pasukan produksi AME, Alif berjanji akan menyumbangkan ‘sesuatu’ pada malam kemuncak itu sebagai menterjemahkan rasa penghargaannya pada majlis anugerah itu.

“Alif ada fikirkan untuk sumbangkan ‘sesuatu’… sumbangan kecil sebenarnya,” kata Alif tanpa berkongsi apakah sumbangan yang dimaksudkannya.

BACA: Alif Satar sudah sembuh, kini kembali ke pangkuan keluarga